ISI KANDUNGAN
BIL PERKARA MUKASURAT
- 1. PENGENALAN 2
- 1.1 Definisi Sahsiah 2
- 2. ISU BULI DI KALANGAN PELAJAR
SEKOLAH 5
- 2.0 Definisi buli 5
- 2.1 Kategori buli 5
- 2.2 Sebab-sebab berlakunya gejala buli 6
- 2.3 Jenis-jenis buli 7
- 2.4 Kesan buli 7
- 2.5 Cara menangani kes buli 8
- 2.6 Apa yang perlu dilakukan oleh mangsa buli 10
- 3. CONTOH
ISU BULI
- 3.1
Kes 1 12
- 3.2 Kes 2 13
- 3.3 Kes 3 15
- 4. CARA-CARA PENYELESIAN
- 4.1 Kaitan
dengan teori Psikoanalisis 18
- 4.2 Cara
mengatasi buli mengikut pandangan islam 19
- 4.3 Langkah-langkah
mengatasi masalah ( cadangan idea ) 22
- 5. RUMUSAN 23
- 6. BIBLIOGRAFI 24
- 7. LAMPIRAN 25
1.PENGENALAN
Sahsiah
bermakna peribadi atau personaliti. Ia merujuk kepada traits yang mencirikan
peribadi orang berkenaan. Peribadi menggambarkan sifat personaliti individu
yang membezakannya daripada orang lain. Sifat sahsiah merangkumi gaya hidup,
kepercayaan, harapan, nilai, motif, pemikiran, perasaan, budi pekerti,
persepsi, tabiat, sikap dan watak seseorang. Mengikut G.W Aliport dalam bukunya
“ Pattern and Growth in Personality”, sahsiah ditakrifkan sebagai organisasi
dinamik sesuatu sistem psikofizikal merangkumi segala unsur-unsur psikologi
seperti tabiat, sikap, nilai, kepercayaan dan emosi, bersama dengan unsur-unsur
fizikal seperti bentuk tubuh badan, urat saraf, kelenjar, wajah dan gerak geri
seseorang ( Mook Soon Sang, 1994: 1).
Sebagai
seorang pelajar haruslah memiliki
sahsiah yang cemerlang bagi menjadikan sekolah yang terbilang. Jika kita lihat
remaja kita pada hari ini, kita dapati sahsiah mereka adalah jauh lebih buruk
daripada sahsiah remaja pada zaman dahulu. Terdapat berbagai masalah sosial dan
buruk yang dilakukan oleh mereka seperti penagihan dadah, rogol, mencuri,
rempit, minum arak, berjudi, derhaka kepada ibu bapa dan berbagai lagi. Dalam
kita memperbincangkan isu remaja masa kini, kita dapati masalah buli di kalangan pelajar sekolah dilihat menjadi
semakin serius dan membimbangkan. Ini adalah kerana isu buli adalah salah satu
masalah sahsiah remaja masa kini.
1.1 DEFINISI
Sahsiah
disebut juga dalam bahasa melayu sebagai
keperibadian dan personaliti . Keperibadian diertikan sebagai ciri, sifat atau
bentuk perlakuan yang biasa dipamirkan oleh seseorang. Manakala sahsiah pula
berasal daripada perkataan arab syakhsiyah yang membawa beberapa pengertian.
Jamil Saliba (1971) menghuraikan erti syahkhsiyah sebagai gambaran bagi
seseorang individu dan sejumlah sifat-sifat jasmani, perasaan, keinginan
pemikiran yang menjadi penentu dalam membentuk keperibadian seseorang dan
membezakannya dengan orang lain. Sifat-sifat ini boleh jadi memang sedia ada di
dalam diri seseorang atau boleh jadi wujud pada seseorang hasil daripada
pengaruh atau kesan daripada alam sekeliling yang ada pada seseorang.
Menurut
Jairat Jahami (1998) pula menjelaskan syakhsiyah dalam bahasa arab membawa
makna segala perkara yang boleh membezakan seseorang dengan orang lain dan
perkara itu pula dapat dikesan dengan salah satu atau lebih pancaindera.
Perkataan syakhsiyah menurut beliau juga membawa makna gambaran keadaan
seseorang.Pengertian syakhsiyah yang diberika ini lebih kurang sama dengan
pengertian persolanaliti yang diberikan oleh A.H John dalam bahasa Inggeris.
Sedikit perbezaan antara pengertian syakhsiyah dan personaliti ialah syakhsiyah
dalam bahasa arab merangkumkan sifat-sifat kerohanian sebagai salah satu
pengertian syahksiyah. Sebaliknya pengertian dalam bahasa inggeris tidak
menyebutnya.
Manakala
sebahagian pemikir Islam pula cenderung memberikan pengertian akhlak sebagai
satu maksud bagi sahsiah (Miqdad Yaljan, 1973). Dalam memperincikan huraian
tentang akhlak Miqdad menyatakan bahawa akhlak terbahagi kepada dua kategori
besar. Kategori pertama ialah akhlak yang telah diperincikan oleh wahyu.
Peranan manusia hanyalah melaksanakan sepenuhnya akhlak ini dengan hati, rohani
dan keinginan yang ikhlas kerana Allah dalam bentuk tingkah laku lahiriah.
Kategori kedua pula ialah akhlak yang disebut oleh wahyu secara umum dan
manusia memainkan peranan dalam perincian perlaksanaannya mengikut kesesusian
dengan syarat natijahnya hendaklah mendatangkan kebaikan kepada manusia.
Dasar-dasar
akhlak dalam islam bukanlah sebahagian daripada sistem-sistem yang ada dalam
Islam seperti sistem kerohanian, sistem sosial, sistem kekeluargaan, sistem
ekonomi sistem perundangan dan sistem pemerintahan. Malah akhlak adalah satu
sistem yang menaungi keseluruhan sistem-sistem tersebut. Ini bermakna semua
sistem yang terdapat dalam Islam adalah didasari oleh asas-asas akhlak. Ini
menepati nas-nas yang menyentuh tentang akhlak. Antaranya ialah sabda
Rasullullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia atau baik.” (Musnad Imam Ahmad 2/381). Hadis
ini menggambarkan matlamat penurunan Islam ialah untuk memupuk akhlak yang
mulia pada manusia dalam menjalani kehidupan di dunia.
Oleh
itu Rasulullah s.a.w mengungkap agama sebagai akhlak dalam sabda baginda yang
bermaksud: “agama ialah akhlak yang baik” (Diriwayatkan oleh al-Mawarzi dalam
Musnadnya dalam kitab ta’zim nilai solat daripada riwayat Abu Al-Ala’
al-Shakhir secara mursal). Begitu juga mengungkap bahawa insan yang paling baik
agamanya ialah yang paling baik akhlaknya (Muntakhab Kunzu al-‘Ummal dalam nota
tepi Musnad Imam Ahmad jilid 1 hlm. 132. Lihat juga kitab adab al-mufrab
karangan al-Bukhari hlaman 81). Baginda juga mengungkapkan mukmin yang paling
sempurna iman ialah yang paling baik akhlaknya (al-Lu’lu’u wa al-Marjan Fima
Ittafaqa alaihi al-Syaikhan jilid 1 hlm. 10 kitab iman).
Walaupun
pendekatan yang dibawa oleh al-Ghazali dan Miqdad nampak ada perbezaan, dengan
al-ghazali menekankan akhlak adalah sifat dalaman dan Miqdad pula menekankan
akhlak adalah aplikasi luaran oleh seseorang insan, sebenarnya kedua-dua
pendekatan ini jika diintegrasikan akan menghasilkan satu takrifan akhlak yang
kukuh. Ini kerana perlakuan luaran yang dipaparkan oleh insan melalui anggota
tubuh badan tidak akan dinilai oleh Islam kecuali ia lahir daripada kesedaran
dari dalam jiwa insan yang melakukannya. Justeru Islam tidak mengiktiraf
sumbangan-sumbangan kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir sebagai amal soleh
yang diberikan ganjaran syurga. Beberapa ayat al-Quran telah menyatakan hakikat
ini. Antaranya ialah firman Allah yang bermaksud:
‘Amalan-amalan orang kafir adalah umpama fatamorgana yang terdapat di tanah rata yang disangka oleh orang dahaga sebagai air. Apabila dia sampai ke tempat itu dia tidak mendapati apa-apa” (Qaf: 29)
‘Amalan-amalan orang kafir adalah umpama fatamorgana yang terdapat di tanah rata yang disangka oleh orang dahaga sebagai air. Apabila dia sampai ke tempat itu dia tidak mendapati apa-apa” (Qaf: 29)
Iaitu
tidak ada ganjaran bagi amal kebaikan yang dilakukan oleh orang kafir yang
tidak mempunyai asas dalaman yang baik ketika melakukan kebaikan dengan anggota
badan lahiriah.Oleh kerana personaliti telah diertikan sebagai akhlak, dan
akhlak merangkumi asas dalaman dan paparan perlakuan luaran maka natijahnya
ialah personaliti di dalam Islam juga merangkumi kedua-dua aspek tersebut. Ada
personaliti yang berciri dalaman dan ada personaliti yang berciri luaran.
Peronaliti yang berciri luaran juga akan kembali kepada personaliti berciri
dalaman. Ini kerana personaliti dalaman adalah asas kepada paparan personaliti
luaran yang dapat disaksikan oleh pancaindera.
2.
ISU
BULI DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH
Berdasarkan
kepada era remaja masa kini, kita dapati banyak berlaku isu-isu yang semakin
meruncing dan membimbangkan seperti gejala buli di kalangan pelajar sekolah ini.
2.0 Definisi Buli
Buli
bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk
menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung mejadikan mereka
yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Ada maksud lain yang
menyatakan bahawa buli bermaksud tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk
fizikal atau psikologikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa
dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, aman, tenteram dan
harmoni. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang
tidak baik serta boleh membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta boleh
mendatangkan ketidak selesaan kepada orang lain.
2.1 Kategori buli
Pembuli
terdiri daripada pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat, lima dan enam.
Pembuli juga memiliki tubuh badan yang besar, tegap dan tinggi. Ia biasanya
melibatkan sekumpulan pelajar dan pada kebiasaannya umur mereka adalah sebaya.
Bagi mereka, membuli adalah satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan di
sekolah. Kejayaan mereka membuli pelajar junior akan menunjukkan mereka kuat, berkuasa
dan tidak mudah digertak.
Di Malaysia, pelajar-pelajar yang
sering menjadi mangsa buli adalah pelajar menengah rendah iaitu tingkatan satu,
dua dan tiga serta pelajar sekolah rendah. Mereka yang dibuli ini memiliki
tubuh badan yang kecil dan tidak pandai melawan apabila di buli. Sasaran
pembuli juga biasanya adalah mereka yang kerap dipuji oleh guru. Begitu juga
bagi murid baru di sekolah tersebut.
2.2
Sebab-sebab Berlakunya Gejala buli
Sebenarnya
terdapat banyak sebab kenapa mereka suka membuli. Diantaranya adalah disebabkan
faktor rakan sebaya yang mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tigkah
laku pelajar. Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak
puas hati mereka. Mereka juga mungkin pernah menjadi mangsa buli. Disebabkan
itu mereka ingin membalas dendam dengan cara membuli orang lain.Mereka juga
mungkin mengalami gangguan personaliti seperti antisosial golongan yang tidak
pernah berasa bersalah apabila membuat kesilapan.
Selain itu, individu yang gagal
mengendalikan emosi dengan baik seperti kanak-kanak hyperactive atau cergas
yang melampau yang sering bersikap tidak pernah mengambil peduli perasaan orang
lain juga sering membuli. Ada juga pembuli ini terdiri daripada orang yang
tidak berjaya dalam pelajaran, nakal dan mempunyai masalah disiplin. Diantara
sebab lain juga adalah akibat perceraian antara ibu bapa yang akhirnya membawa
mereka bersikap sebagai seorang pembuli.
Ada juga diantara pembuli adalah
mereka yang terlalu dimanja oleh ibu bapa . oleh itu mereka akan bertindak
membuli orang lain dan ianya dilakukan hanya untuk suka-suka. Dan sekadar mahu
berseronok sahaja. Selain itu, ada juga yang menjadi pembuli disebabkan oleh
rasa bosan dengan sekolah dan untuk menghilangkan perasaan bosan tersebuat,
mereka akan membuli pelajar lain.
Terdapat juga pembuli ini adalah
mereka yang mempunyai dendam dan perasaan marah pada orang yang dibuli
disebabkan cemburu contohnya mangsa adalah murid kesayangan guru. Disebabkan
rasa iri hati pada murid tersebut, maka buli adalah satu cara untuk membalas
dendam. Selain itu, ada juga pembuli yang ingin menunjukkan kekuatan sendiri.
Faktor teknologi juga adalah
penyumbang kepada gejala ini. Ini adalah kerana, peranan media massa dan cetak
yang memaparkan aksi, pertuturan dan tingkah laku yang ditayangkan di media
elektronik dan cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut
menjadi ‘role model’ bagi golongan remaja.
Selain itu, terdapat juag pembuli
yang terdiri daripada perempuan. Biarpun peratusannya agak sedikit, namun
perkara tersebut mampu mendorong kepada perbuatan yang serius jika tidak
dibendung. Buli di kalangan perempuan biasanya melibatkan ejekan dari segi
fizikal. Contohnya, jika terdapat pelajar perempuan yang berbadan gemuk dan
berkulit gelap, mereka akan menjadi mangsa untuk dijadikan bahan ejekan.
Walaupu begitu, kes buli di kalangan perempuan tidak terlalu ganas berbanding
pelajar lelaki.
2.3 Jenis-jenis buli
Buli
merupakan gejala yang mengancam kesihatan dan perkembangan pelajar. Terdapat
beberapa jenis buli yang biasanya terjadi di kalangan pelajar sekolah. Di
antaranya adalah buli berbentuk fizikal. Buli jenis ini melibatkan
pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang,menarik rambut,menolak,
mencubit atau sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan. Lebih teruk lagi
sehingga menyebabkan kematian.
Terdapat juga buli berbentuk buli
mental yang mana ia lebih kepada ejek-mengejek, contohnya mengejek nama bapa
disebabkan nama bapa pelajar tersebut agak pelik dan luar biasa,maka itu akan
dijadikan sebagai bahan ejekan pelajar lain terutamanya senior. Sungguhpun kes
buli seperti ini kurang mendapat perhatian media massa, ia sebenarnya serius
berlaku disekolah.
2.4 Kesan Buli
Terdapat
beberapa kesan yang akan dialami oleh pembuli dan orang yang dibuli. Bagi
pembuli, pada kebiasaannya apabila dewasa kelak berkemungkinan akan lebih
cenderung untuk menjadi seorang penjenayah. Lebih menyedihkan, ada di kalangan
mereka akan bertindak lebih agresif seperti merogol, merompak, atau menjadi
seorang pendera terhadap isteri.
Selain itu, terdapat juga kesan yang
akan dialami oleh orang yang menjadi mangsa buli. Bagi mangsa buli mereka akan
mengalami kesan sama ada dari luaran mahupun dalamannya. Dari segi luaran,
mereka akan membalas dendam kepada orang lain. Tujuannya adalah untuk
mengembalikan harga diri yang hilang akibat dibuli. Selain itu, akibat dibuli
juga akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan dan mungkin juga kematian. Dari
segi dalaman pula, orag yang dibuli akan menjadi hilang keyakinan diri, mangsa
akan sanggup membiarkan dirinya diperlakukan apa sahaja, ia juga sanggup
melakukan sesuatu demi membahagiakan orang lain, ada juga yang dibuli tidak mahu pergi ke sekolah. Lebih
parah lagi, mereka sanggup mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri
mereka tidak berguna.
2.5 Cara menangani kes Buli
Menurut
Datin Dr. Noran Fauziah yaakub selaku Presiden Persatuan Psikologi Malaysia,
terdapat beberapa tahap untuk menangani masalah buli iaitu 1. Tahap sekolah 2.
Tahap kelas 3. Tahap individu.
Dari segi tahap sekolah, ada
sesetengah sekolah menangani masalah buli ini dengan cara memasang kamera CCTV.
Pihak sekolah juga perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di
sekolah masing-masing, sama ada dalam bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh
dilakukan dengan meminta para pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan
dengan buli. Selain itu, pelajar juga boleh menulis kes-kes buli yang telah
mereka alami. Untuk mendapatkan respons tertinggi tentang perkara ini, identiti
pelajar perlulah dirahsiakan.
Menurutnya lagi, pihak sekolah perlu
mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli. Ini bukan sahaja dilakukan dengan cara
menampal poster tentang anti buli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah
anti buli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa. Maklumat
yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, petua mudah untuk
menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli, contohnya talian hotline
buli 1-800-884774.
Tindakan disiplin seperti merotan
dan buang sekolah adalah hukuman sewajarnya kepada pembuli. Penggunaan kamera
litar tertutup ( CCTV ) di sekolah-sekolah juga secara tidak langsung dapat
mengekang kejadian gangster. Pihak sekolah juga perlu mewujudkan satu
jawatankuasa penyelaras anti buli peringkat sekolah.Antara ahli yang terlibat
adalah terdiri daripada pengetua sekolah, guru kaunseling, guru disiplin, wakil
ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan
menilai keberkesanannya. Perbincangan tentang buli juga hendaklah dimasukkan
dalam agenda mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) sekolah.
Menurut Datin Dr. Noran Fauziah yaakub lagi, dari
segi tahap kelas pula, perlu diwujudkan satu peraturan kelas berkaitan dengan
toleransi sifar tentang buli. Peraturan tersebut mestilah menyenaraikan semua
tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli ( psikologi dan fizikal
), dan hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya. Untuk
menjalankannya, setiap pelajar hendaklah diberikan senarai peraturan berkenaan
tingkah laku buli dan hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu
salinan akan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga
turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan tingkah laku antara
pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah. Selain itu, guru-guru juga
hendaklah membincangkan tentang isu buli dari semasa ke semasa.
Menerusi tahap idividu pula, Datin Dr. Noran Fauziah yaakub menyarankan
agar Jawatankuasa penyelaras anti buli mengadakan perbincangan bagi
menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja antara pembuli dan mangsa, tetapi
juga ibu bapa atau penjaga mereka. Tahap ini biasanya melibatkan pembuli dan
juga mangsa. Selain itu, guru kaunseling juga bolehlah mengadakan sesi yang
memainkan peranan terhadap tingkah laku empati ( daya menyelami dan memahami
perasaan dan emosi orang lain ) atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan
pemulihan perlu diadakan dengan mangsa.
2.6
Apa yang perlu dilakukan oleh
mangsa buli
Biasanya
mangsa buli adalah seorang yang pendiam dan pemalu. Mereka tidak pandai
mempertahankan diri sendiri dan lama-kelamaan, mangsa buli mulai berfikir
bahawa mereka memang layak untuk dibuli. Mangsa buli boleh membalas percakapan
dengan berkata “Jagan buat begini pada saya”, “Saya tidak takut”, mereka harus
diajar supaya sentiasa tenang dan cuba bertutur dengan nada tenang dalam suara
yang kuat dan jelas. Seterusnya mangsa
cuba berjalan dan tinggalkan tempat berkenaan tetapi jangan berlari
walaupun hatinya sebenarnya sangat takut. Ambil peluang untuk berjumpa guru
utuk meminta tolong. Ibu bapa juga boleh mengambil tindakan untuk menghentikan
perkara ini.
Mangsa buli perlu diberi
perlindungan dan sokongan supaya keyakinannya tidak terjejas. Kanak-kanak yang
suka membuli perlu diberi bantuan kaunseling. Ianya dapat membantu pembuli memahami
mereka tidak boleh berkelakuan demikian. Ia juga membantu pembuli untuk berubah
dan bergaul dengan rakan secara sihat. Pada masa yang sama juga, ibu bapa perlu
diberikan kaunseling supaya boleh sama-sama berubah demi kebaikan anak yang
masih kecil.
Kajian jelas menunjukkan bahawa
pembuli biasanya mempunyai pencapaian pelajaran yang kurang baik dan
berkemungkinan tidak dapat menamatkan sekolah. Rentetan itu, mereka akan
cenderung untuk terbabit dalam pelbagai jenayah apabila dewasa kelak khususnya
apabila sukar mendapatkan pekerjaan. Malah ada kajian mendapati pembuli lebih
berisiko menyalahgunakan dadah dan alkohol.
Sebahagian pakar psikologi
mengatakan bahawa, ibu bapa perlu membantu anak-anak mereka mempunyai kawan
sama ada di sekolah atau luar sekolah yang saling memberi sokongan antara satu
sama lain. Kehadiran kawan dapat mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa
buli. Pada masa yang sama, ibu bapa juga disarankan untuk memperkasakan emosi
anak-anak. Antara caranya adalah dengan bertanya apa yang dilakukan anak-anak
ketika di sekolah. Tanyakan dengan siapa mereka akan makan dan bermain, siapa
yang duduk di sebelah mereka di dalam kelas dan dalam bas, apa yang berlaku
dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah, adakah mereka nampak rakan
mereka diejek atau dipulaukan.
Antara kaedah lain yang berguna
untuk membantu mangsa adalah dengan memasukkan atau melibatkan mereka dengan
kelas seni mempertahankan diri. Mereka selalu diterapkan supaya tidak menyalahgunakan ilmu yang ada
sebaliknya ia digunakan bagi melindungi diri sendiri. Kanak-kanak yang belajar
ilmu mempertahankan diri biasanya berasa lebih yakin dengan diri sendiri dan ia
juga secara tidak langsung dapat menjadi pendinding daripada dibuli kerana
pembuli biasanya mencari orang yang lemah dan takut.
Namun, apa yang paling penting adalah
didikan asas di rumah supaya anak sentiasa menghormati, mengambil berat dan
menyayangi orang lain. Jika kita melihat anak murid kita suka membuli, cuba
tanyakan padanya adakah dia suka sekiranya dia diperlakukan begitu. Guru perlu
mengambil perhatian serius sekiranya dapat mengesan ada diantara anak muridnya
adalah pembuli. Buat peraturan dan denda ( yang tidak menyebabkan kesakitan
fizikal ) jika dia membuli. Maklumkan kepada guru kaunseling , guru disiplin
dan pentadbir sekolah sekiranya terdapat masalah tersebut.Pantau aktiviti dan
pergerakan pelajar berkenaan Libatkan pelajar tersebut dengan pelbagai aktiviti
. Berikan pujian sekiranya pelajar tersebut berkelakuan baik dan sentiasa
beritahu bahawa perbuatan baik adalah perbuatan yang disukai oleh manusia dan
disayangi allah.
3.
CONTOH
ISU BULI
Kes 1 : Video Buli pelajar
berlaku di asrama anak yatim di Perlis
Memetik
laporan berita Bernama yang diterbitkan pada tarikh 6 November 2014 bahawa kes
video klip aksi buli yang membabitkan tujuh pelajar dan seorang mangsa menjadi
viral di laman sosial dan media massa telah berlaku di Asrama Anak Yatim,
Kompleks Penyayang Doktor Siti Hasmah, di Jejawi, Kangar.
Menurut Datuk Seri Mohamad Fuzi
Harun selaku Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, kes itu merupakan kes lama
yang telah dilaporkan dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada pihak
pendakwa raya untuk tindakan lanjut. Video tersebut melibatkan tujuh orang
pelajar iaitu tiga pelajar tingkatan satu, dua pelajar tingkatan dua dan dua
pelajar tingkatan tiga yang bersekolah di sekolah Menengah Kebangsaan Syed
Sirajudin yang telah memukul seorang pelajar darjah lima yang bersekolah di
sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Arau.
Menurut beliau juga, mangsa dipukul
kerana enggan membersihkan bilik sedangkan pada hari berkenaan merupakan
gilirannya berbuat demikian. Klip video berdurasi enam minit 51 saat itu
memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja lain di dalam sebuah
bilik dipercayai asrama sebuah sekolah. Keadaan ini telah menimbulkan rasa
marah dalam kalangan masyarakat.
Kes 2 : Pelajar dakwa dibelasah
senior sekolah agama di Pendang
Menurut
sebuah laporan berita Astro Awani yang telah diterbitkan pada 20 April 2015.
Kes telah berlaku di Sekolah agama Pokok Tai, Pendang yang melibatkan seorang
pelajar Tingkatan Satu yang telah mendakwa dirinya dipukul oleh 15 pelajar
senior sekolah berkenaan.
Mangsa hanya mahu dikenali sebagai
Ammar memberitahu bahawa kejadian itu berlaku selepas dia mengambil duit
sebanyak RM60 di dalam dompet yang dijumpainya di kantin sekolah selepas
selesai bermain bola kira-kira jam 6 petang. Namun, mangsa tidak sempat
memberikan wang tersebut kepada pihak sekolah dan bercadang melakukannya pada
keesokan harinya.
Bagaimanapun, pada malam tersebut,
mangsa yang tidur di asrama didatangi sekumpulan 15 orang pelajar tingkatan
empat dan lima kira-kira pada jam 12 malam dan bertanyakan wang tesebut. Mangsa
mengaku ada menemui dan mengambil dompet serta wang tersebut namun belum sempat
untuk menegembalikannya. Ekoran itu, mangsa terus ditampar di muka dan
ditendang di bahagian dada sehingga tersungkur. Tidak cukup dengan itu, mangsa
dipukul, dibakar rambut dan dibotakkan kepalanya. Selain itu, mangsa juga
dipijak sehingga hampir sejam. Pelajar merayu agar tidak diperlakukan sebegitu,
namun tetap dipukul di seluruh badannya dengan menggunakan tuala.
Pelajar-pelajar lainyang berada di
bilik itu hanya mampu melihat dan tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu
melihat mangsa dipukul. Mangsa juga diberi amaran agar tidak memberitahu kepada
sesiapa sebelum kumpulan pembuli itu beredar. Akibat kejadian itu, mangsa
mengalami lebam di seluruh badan termasuk di bahagian belakang, paha dan mata
selain sakit pada bahagian dada dan belakang. Kejadian itu hanya disedari oleh
bapanya kerana melihat perubahan pada anaknya yang kemudian terus ke sekolah
terbabit. Seorang guru telah memaklumkan bahawa mangsa telah dibuli oleh
sekumpulan pelajar senior sehingga mengalami kecederaan tersebut.
Sehubungan itu,mangsa telah dibawa
ke hospital untuk pemeriksaan sebelum laporan polis dijalankan. Mangsa telah
mengalami trauma dan bertekad untuk tidak bersekolah disitu. Kecederaan yang
dialami melibatkan tulang belakang, paha dan dada mangsa. Mangsa menceritakan
bahawa beliau telah ditendang di bahagian dada dan kepalanya telah diketuk
dengan telefon bimbit. Pihak polis telah menjalankan siasatan selepas menerima
laporan daripada bapa mangsa.
Kes 3 : Kerana sidai tuala,
pelajar tingkatan 4 maut dibelasah rakan
Menurut
sebuah laporan berita Astro Awani bertarikh 12 Mei 2015 memaparkan kisah yang
berlaku di Kota Bharu yang mana seorang pelajar tingkatan empat Kolej
Vokasional Bachok maut dipercayai akibat dibelasah rakannya di asrama sekolah
berkenaan.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar
jam 12 tengah malam itu, mangsa yang bernama Mohd Nor Akram Zime, 16 tahun,
didakwa disepak akibat perselisihan faham berhubung kain tuala yang didakwa
disidai oleh mangsa di kepala katil rakannya itu.
Menurut Zimie Yakoob selaku bapa
mangsa, arwah dikatakan telah disepak di bahagian badan dan lehernya
berdasarkan laporan saksi dan kenyataan rakan anaknya. Warden asrama telah
menelefon bapa mangsa dan diminta agar segera ke hospital kerana mangsa berada
dalam keadaan tenat. Sehubungan itu, seramai dua anggota polis turut datang ke
rumah bapa mangsa dan memberitahu bahawa mangsa telah meninggal dunia.
Sebelum belajar di Kolej berkenaan,
mangsa pernah belajar di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub Pahang.
Mangsa berpindah ke sekolah berkenaan 3 bulan sebelum kematiannya bertujuan
memudahkannya kerana lebih dekat dengan keluarga.
Menurut Mohd Nor Aminuddin selaku
abang mangsa, mangsa adalah seorang yang mudah bergaul dan seorang yang tidak
mempunyai masalah di rumah. Adiknya juga seorang yang pendiam jika di hadapan
orang ramai dan suka menolong orang.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit
Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan telah
dikebumikan di kampong Gelam, Pasir Puteh. Sementara itu suspek yang juga rakan
mangsa sudah ditahan polis.
4.
CARA-CARA
PENYELESAIAN
Berdasarkan
kepada beberapa kes yang dinyatakan, saya telah memilih teori Psikoanalisis
sebagai salah satu cara untuk menangani kes dan mengatasi berlakunya gejala buli
pelajar sekolah yang kian hari semakin membimbangkan ini.
4.1 KAITAN DENGAN TEORI PSIKOANALISIS
a.
Pengenalan
teori
Pada
pertengahan abad ke-19, psikologi muncul sebagai displin ilmu yang berdiri
dengan sendiri. Psikologi merupakan kajian tentang proses mental dan pemikiran,
terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan, pola pemikiran dan
perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu dan kebijaksanaan memahami
sifat manusia. Jelas disini, psikologi berkaitan dengan perasaan, pemikiran,
ramalan atau tindak balas manusia terhadap sesuatu sama ada di peringkat
kesedaran atau tidak sedar. Di bawah konsep-konsep asas untuk menerangkan
keadaan psikologi tertentu, muncullah pelbagai teori-teori yang dikemukakan
oleh para sarjana misalnya teori psikoanalisis ini.
b.
Penerangan
teori
Teori ini diperkenalkan oleh Sigmund Freud yang berasal daripada
Freiberg, Cekoslovakia. Selama 40 tahun beliau telah menyelidiki proses
ketidaksedaran dengan metode asosiasi bebas dan mengembangkan teori-teori keperibadian
yang komprehensif. Pemahaman Freud tentang keperibadian manusia diperoleh
melalui penelitian terhadap pesakitnya sendiri, analisis mimpi-mimpi dan beliau
banyak membaca buku-buku atau jurnal mengenai ilmu kemanusiaan. Teori ini akan
dibahaskan berdasarkan empat konsep iaitu tahap-tahap aktiviti mental,
bahagian-bahagian fikiran, kedinamikan keperibadian dan penelitian khas dan
metod penelitian.
Bahagian utama teori ini yang membincangkan tahap-tahap aktiviti mental
dikemukakan oleh Frued diantara tahun 1890 hingga 1939. Pengalaman-pengalaman
beliau dalam terapi memberi keyakinan bahawa ketidaksedaran merupakan faktor
penentu tingkah laku yang penting dan dinamik. Dalam hubungan terapeutik,
beliau mendapati bahawa kata-kata pesakitnya kebanyakan tidak tepat secara
berulang misalnya waktu dan tempat. Teori ini menyimpulkan bahawa terdapat
tahap-tahap pemikiran manusia iaitu ketidaksedaran, keprasedaran dan kesedaran.
Ketidaksedaran merupakan sikap, perasaan, dan fikiran yang tidak mampu dikawal
oleh kemahuan seseorang. Walaupun kita menyedari tingkahlaku atau perbuatan,
kita sering tidak menyedari proses mental yang berada di sebalik tingkah laku
tersebut. Misalnya jika seseorang individu bergaduh, ia tidak sedar sepenuhnya
tujuan dan keadaan ketika pergaduhan itu berlaku, sesuatu yang kelihatan
irasional.
Tahap keprasedaran pula bermaksud persepsi atau keadaan yang hanya sedar
untuk sementara waktu. Fikiran-fikiran yang cepat berubah diantara sedar dan
tidak sedar ini umumnya bebas daripada kecemasan dan dalam setiap percakapannya
akan didorong oleh gambaran-gambaran yang tidak sedar. Namun, teori ini hanya
menekankan setiap keadaan yang berlaku dalam tindakan dan fikiran manusia
berpunca daripada alam tidak sedar.
Fikiran di tahap kesedaran memainkan peranan yang sangat kecil dalam
teori psikoanalitik dan dapat didefinisikan sebagai elemen-elemen mental dalam
kesedaran pada saat tertentu. Kesedaran merupakan tahap secara lansung tersedia
bagi kita. Fikiran-fikiran dapat mencapai kesedaran dari dua arah berbeza. Yang
pertama dari sistem sedar perseptual yang diarahkan ke dunia luar dan bertindak
sebagai medium persepsi terhadap stimulus-stimulus eksternal. Dengan kata lain,
apa yang kita persepsikan melalui organ-organ pancaindera kita bila tidak
terlalu mengancam akan memasuki kesedaran. Sumber kedua dari elemen-elemen
sedar berasal dari dalam struktual mental dan meliputi fikiran-fikiran yang
tidak mengancam dari alam prasedar. Walaubagaimanapun, Freud berhujah bahawa
tahap kesedaran tidak akan berlaku dengan penuh, elemen prasedar akan menyusup
masuk menyebabkan seseorang itu tetap akan berada di bawah tahap
ketidaksedaran.
c.
Isu
buli dari perspektif teori Psikoanalisis di kalangan remaja
Teori psikoanalitik melihat
keagresifan adalah naluri semula jadi manusia dan ia tidak dapat dielakkan
daripada realiti kehidupan manusia. Menurut teori psikoanalisis, struktur
personaliti individu terdiri daripada id,ego
dan superego.
Pendorong kepada tingkah laku dan sifat keagresifan ialah id. Ego pula berfungsi sebagai
pemikiran, persepsi dan kawalan motor yang akan menilai secara tepat keadaan
persekitaran. Ego merupa
pengimbang antara id dan
superego.
Dalam usaha untuk
memenuhi fungsi adaptasi ini, ego mesti
berupaya mengukuhkan penangguhan kepuasan impuls naluri daripada id. Untuk mempertahankan dirinya
daripada impuls-impuls yang tidak dijangkakan, ego perlu membentuk mekanisma khusus yang dikenali
sebagai mekanisma bela diri. Mekanisma-mekanisma ini termasuklah represi,
penyingkiran dan pengukuhan pola-pola tingkah laku yang secara langsung
bertentangan dengan keperluan tidak sedar. Perkembangan personaliti wujud
melalui penempatan berperingkat `libido’ yang memberi tenaga kepada
tubuh untuk menukarkannya kepada stimulasi. Ianya berfungsi sebagai penyebab
utama aktiviti mental dan tingkah laku manusia dalam memburu keseronokan dan
ketegangan. Konflik dalam kehidupan akan mewujudkan kebimbangan. Kebimbangan
ini akan dihadapi oleh individu dengan menggunakan mekanisma bela diri.
Pembuli lazimnya wujud daripada kalangan kanak-kanak atau
pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah. Pembuli mungkin
wujud dalam kalangan keluarga yang mempunyai bapa yang bersifat seorang pembuli.
Latar belakang keluarga yang mempunyai pelbagai masalah seperti, kurangnya
interaksi prososial, pengukuhan terhadap tingkah laku agresif, ketidaktekalan
serta kaedah disiplin yang lemah mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak untuk
menjadi pembuli. Pengalaman lampau sebagai mangsa buli akan menyebabkan
kanak-kanak tersebut bertindak untuk membuli orang lain sebagai mekanisma bela
dirinya untuk merasai dirinya adalah individu yang berkuasa.
Sejak peringkat awal perkembangan
kanak-kanak, ibu bapa harus menunjukkan suasana yang positif dan agar
kanak-kanak melihat keadaan toleransi dan kasih sayang. Oleh sebab itulah,
keseimbangan diantara id, ego dan superego penting kepada individu terutama
remaja kerana peringkat keremajaan merupakan satu tahap yang penuh dengan
konflik, tekanan dan cabaran.
4.2 CARA MENGATASI BULI
MENGIKUT PANDANGAN ISLAM
Pelajar
sekolah masakini seolah-olah kehilangan identiti sebagai seorang pelajar
sekolah yang sepatutnya dari sudut pembelajaran dan perlakuan. Jika kita lihat
dewasa ini perilaku pelajar sekolah seakan-akan sudah hilang kawalan dengan
perlakuan seperti gejala buli ini yang boleh dikategorikan sebagai masalah
kehilangan identiti dan jatidiri.
Masalah yang timbul berkenaan buli ini adalah disebabkan
beberapa faktor yang menjadi sebab musabab pelajar sekolah melakukan perlakuan
sedemikian. Antara faktor utama yang menjadi punca masalah ini adalah pengaruh
rakan-rakan sebaya yang boleh memusnahkan masa depan pelajar sekolah ini. Buli ini
boleh dikatakan sebagai ketagihan yang merantai diri pelajar masa kini kerana
jika sekali pelajar melakukan perbuatan ini, pasti fenomena buli akan berulang
dan terus berulang.
Ada juga di antara pelajar yang buli disebabkan suasana
segelintir pelajar sekolah bersikap gengsterisme yang mana menyebabkan
pelajar-pelajar lain dibuli dan dijadikan tempat melepaskan geram.
Seharusnya bagi mengatasi masalah bahana buli ini dari terus
berleluasa dan semakin menjadi-jadi, semua pihak harus berganding bahu merangka
dan melaksanakan beberapa beban tanggungjawab agar masalah ini dapat diatasi.
Sememangnya memakan masa yang lama untuk menghapuskan masalah ini, tetapi
sekurang-kurangnya beberapa rangka kerja perancangan teliti dibuat agar masalah
ini tidak terus menjadi barah dalam masyarakat.
Menurut Izzat Amin Mohd Nasir selaku YDP Persatuan Mahasiswa
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menyatakan bahawa peranan yang
terpenting dan individu yang terpenting dalam menyelesaikan masalah
bersangkutan anak-anak adalah ibu bapa. Menukilkan beberapa panduan dalam Buku
karya Abdullah Nasih Ulwan bertajuk “Tarbiyatul Aulad” menyedarkan
kepada ibu bapa betapa beratnya beban tugas ibu dan bapa ini. Peranan yang
dimainkan adalah bermula daripada hari pertama kelahiran anak ke dunia dengan
mengajarkan dia tentang tanggungjawabnya mengenal Tuhan agar kehidupan
dewasanya lebih memahami erti ketuhanan yang menyebabkan anak yang didik
menjadi sempurna.
Dalam Surah Lukman ayat ke 13, Allah menukilkan perihal
tanggungjawab seorang bapa dalam mendidik anak yang yang mana bermaksud:
“Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu
ia memberi pelajaran kepadanya, “Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan
Allah, Sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang
besar”.
Daripada ayat ini Saudara Izzat Amin Mohd Nasir menyatakan
bahawa peranan mendidik anak adalah peranan yang sangat besar. Bagi buli, ibu
bapa perlulah memantau aktiviti anak-anak dengan perlakuan mereka. Ibu bapa
pastinya sedia maklum perubahan demi perubahan yang dialami oleh anak yang
dikandung untuk memastikan perlakuan anak tersebut benar-benar bersikap
mahmudah dan bukannya mazmumah. Sekiranya perilaku sang anak mencurigakan,
pihak ibu bapa harus terus berbicara dan berkongsi masalah yang dihadapi dengan
pelajar yang bergelar anak itu. Sekiranya tidak mendapat sebarang maklumat maka
peranan ibu bapa adalah berjumpa dengan guru yang berautoriti sama ada guru
kelas atau guru disiplin untuk memastikan tingkah laku anak.
Selain peranan ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
dan sekolah hendaklah lebih peka dalam menangani masalah ini. Hubungan yang
erat di antara kesatuan guru dan PIBG membolehkan masalah ini dapat dirangka
pelan tindakan diperingkat sekolah agar pelajar yang terlibat ini sedar betapa
beberapa pentingnya nilai keilmuan di dalam waktu persekolahan.
Institusi persekolahan adalah institusi yang amat berperanan
dalam menyelesaikan masalah buli ini. Tertarik dengan disiplin yang ditunjukkan
oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir Kuantan Pahang yang mana
sebelum sesi kelas dimulakan setiap jumaat semua pelajar akan membaca yasin.
Pengetuanya Ibrahim Mat Akil menyatakan kesan paling ketara yang dapat dilihat
menerusi program bacaan Yasin itu, pelajar yang dipanggil selepas melakukan
kesalahan akan mudah menerima nasihat sekali gus tidak lagi mengulangi
kesalahan yang dilakukan. Abdul Qayyum Bin M. Suhaimi pelajar Sejarah dan
Tamadun Islam Universiti Malaya merasakan bahawa tindakan sekolah tersebut amat
tepat dalam menyelesaikan masalah buli ini. Ini berikutan Al-Quran sememangnya
mampu untuk melembutkan hati manusia yang keras.
Beliau juga menyatakan fakta ini telah terbukti apabila
sejarah membuktikan Saidina Umar Al-Khattab yang berjiwa keras sebelum Islam
boleh lembut hanya dengan mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran sehingga
beliau mengucap kalimat Shahadah tanda Allah melembutkan hatinya dengan sebab
musabah Al-Quran. Abdul Qayyum menambah bahawa setiap sekolah di Malaysia yang
mempunyai pelajar yang beragama Islam, kaedah ini dianggap sangat berkesan
dengan cara ayat-ayat suci ini akan dibaca bersama-sama dengan guru, dan guru
akan mentafsirkan maksud ayat tersebut. Kaedah ini tidak memakan masa yang
begitu lama dan hanya sekitar 5 minit hingga ke 10 minit.
Masyarakat juga perlulah berganding bahu dalam menyelesaikan
masalah buli ini dengan bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab seperti
pihak sekolah, pihak polis dan keluarga pelajar tersebut. Ini kerana dengan
peranan masyarakatlah sesuatu masalah yang timbul dapat diatasi dengan cara
yang cepat.
semua pihak haruslah berperanan dalam menjuarai isu ini agar
anak bangsa yang bakal memimpin negara Malaysia masa hadapan tidak akan
sesekali melakukan masalah buli. Harus kita hayati bahawa cara nasihat kepada pelajar
ini dengan cara yang berhikmah pasti pelajar tersebut kembali ke landasan
tanggungjawb sebagai pelajar yang harus dipikul. Harus kita renungkan firman
Allah s.w.t dalam surah A-‘Ashr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud “Demi masa.
Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati
kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH
Cadangan idea
- Remaja
perlu mengenal pasti dan menetapkan hala tuju sebenar mereka supaya mereka
tidak mengalami krisis identiti
- Ibu
bapa perlu menggunakan pendekatan baru untuk mendidik anak-anak remaja
masa kini yang terdedah kepada banyak perkara
- Pihak
sekolah memberikan kaunseling kepada remaja yang bermasalah untuk mengenal
pasti punca dan mencari langkah-langkah untuk menangani masalah yang
dihadapi
- Kerajaan
menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan remaja dengan lebih
tegas untuk memberikan keinsafan kepada mereka
- Persatuan
Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang proaktif dengan merancang
pelbagai program bersama-sama dengan pihak sekolah
- Guru-guru
perlu menerapkan nilai-nilai baik berasaskan pendidikan moral dan agama
supaya remaja kukuh dari segi jati diri dan keagamaan
- Ibu
bapa perlu sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui hal
anak-anak mereka
- Ibu
bapa perlu memberikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak dengan
memperuntukkan masa kepada anak-anak supaya mereka dapat meluahkan masalah
yang dihadapi
- Pihak
sekolah tidak hanya mementingkan keputusan akademik pelajar semata-mata
dalam pengurusan pelajar sebaliknya banyak memberikan penekanan dalam
membentuk sahsiah pelajar
- Media
massa perlu melaporkan dengan lebih kerap kepincangan yang dilakukan oleh
remaja untuk meberi kesedaran kepada mereka
- Kerajaan
perlu memberi peluang kepada remaja meluahkan perasaan mereka dengan
menyediakan tempat-tempat untuk remaja melakukan aktiviti berfaedah
- Kerajaan
perlu membuat penambahbaikan dalam sistem pendidikan supaya pembinaan jati
diri remaja yang kukuh dapat dibina di peringkat sekolah.
5
RUMUSAN
Konklusinya,
semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini ‘ sebelum nasi
menjadi bubur’. Demi mewujudkan generasi dan modal insan yang lebih berguna
pada masa hadapan, maka satu langkah drastik daripa semua pihak patut
dilaksanakan. Tindakan daripada satu pihak tidak akan membuahkan hasil. Jadi,
sama-samalah kita berganding bahu untuk menangani masalah buli ini.
Meskipun terdapat pelbagai cadangan mengenai
cara bagaimana mengatasi masalah buli ini, namun ia hanya akan berakhir di meja
perbincangan, forum atau seminar. Sememangnya terdapat pelbagai program yang
dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi hanya memberi manfaat kepada
segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial. Ibu bapa, guru-guru dan
masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab
mendidik anak-anak dan para pelajar. Adalah wajar supaya pelajar didedahkan
akan kesan buruk dalam masyarakat melalui interaksi mereka di sekolah. Golongan
ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar mereka gementar
dengan hukuman.
Pelajar dan remaja adalah kumpulan
masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara. Mereka adalah asset
kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi
dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah disiplin di kalangan
remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang
akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, segala masalah
sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia
tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap asset utama yang merupakan sumber
modal insan yang selaras dengan falsafah pendidikan negara yang akan
mempastikan kelangsungan kemajuan dan keharmonian negara.
6
BIBLIOGRAFI
Aslina
Ahmad , Abdul Malek Abdul Rahman, Muhammad Bazlan Mustafa, Noraini
Ismail
& Che Anuar Che Abdullah ( 2014 ). Pembangunan
Sahsiah Falsafah,
Konsep,
Teori & Praktis.Tanjung Malim,
Perak. Nur Niaga Sdn Bhd.
Astro
Awani, 2014. Video Buli Pelajar Berlaku
di Asrama Anak Yatim di Perlis. Dimuat
turun
pada 06 November 2014 daripada http://www.astroawani.com/berita-
malaysia/video-buli-pelajar-berlaku-di-asrama-anak-yatim
Astro
Awani, 2015. Pelajar Dakwa Dibelasah
Senior Sekolah Agama di Pendang.
Dimuat
turun pada 20 April 2015 daripada http://www.astroawani.com/berita-malaysia/Pelajar-dakwa-dibelasah-senior-sekolah-agama-di-pendang
Astro
Awani, 2014. Kerana-sidai-tuala-pelajar-tingkatan-4-maut-dibelasah-rakan.
Dimuat
turun pada 12 Mei 2015 daripada http://www.astroawani.com/berita-malaysia/video-buli-pelajar-berlaku-di-asrama-anak-yatim
James
Ang Jit Eng Ed.D. ( 2011 ). Pengurusan
Disiplin Murid Edisi Kedua. SgBuloh,
Selangor:
C.T Book Makers Sdn. Bhd
Mook
Soon Sang, 2010, Psikologi Pendidikan,
Puchong Selangor, Penerbitan
Multimedia
Noriati
A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, 2009, Murid Dan
Alam Belajar,
Kuala Lumpur, Oxford Fajar.
Suppiah
Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz abd Shukor, Ramlah
Jantan,
Roslinda Mustapha & Hazalizah Hamzah ( 2012 ). Pembelajaran dan Perkembangan
Pelajar Edisi Kedua. Tanjung Malim, Perak. ) Oxford Fajar
LAMPIRAN